
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, demam muzik popular Korea atau K-Pop di kalangan penggemar muzik di Asia semakin menjadi-jadi. Bahkan ia bagaikan sudah berbudaya di kalangan generasi muda hari ini. Negara kita tidak terlepas daripada terkena tempias pengaruh muzik artis solo mahupun berkumpulan dari Korea Selatan. Ditambah dengan kewujudan media baru, pengaruh K-Pop makin cepat menular ke seluruh benua ini, bahkan sebahagian bakat dari negara berkenaan sudah pun melangkah lebih jauh hingga ke Amerika Syarikat dan Eropah. Rain dan Wonder Girls, umpamanya, sudah memahat nama mereka di persada seni Amerika.
Semuanya dikatakan bermula kira-kira 20 tahun lalu, dengan penubuhan kumpulan Seo Tai-ji & Boys pada 1992. Kewujudan mereka mengubah landskap muzik negara itu. Dengan mengetengahkan konsep rap rock dan tekno, kumpulan berkenaan mencipta satu fenomena baru dalam industri muzik Korea ketika itu.

Dua dekad kemudian, pelbagai nama dan bentuk muzik menghiasi dunia muzik negara terbabit. Semuanya tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, dek fenomena yang sememangnya banyak mendatangkan laba buat artis dan syarikat yang menaungi mereka. Kumpulan Big Bang, sebagai contoh, dilaporkan mampu memungut sekitar RM50 juta pada 2007.Selain itu 2PM , Big Bang , Miss A , 2NE1 , 4Minute , Super Juniors melangkah gagah di beberapa negara Asia & Eropah.
Maka tidak hairanlah apabila syarikat besar seperti S.M. Entertainment, YG Entertainment, DSP Entertainment dan JYP Entertainment sanggup berbelanja besar untuk merekrut, melatih, seterusnya memasarkan produk menguntungkan ini.
Difahamkan, paling kurang syarikat terbabit mengambil masa selama dua tahun untuk mencipta seseorang bintang atau sesebuah kumpulan, bagi memastikan nama mereka benar-benar melekat di hati peminat sebaik saja single atau album mereka dipasarkan.
read more »