Category Archives: Urban Legend

Urban Legend

Roh Kelly Masih Berkeliaran

Sekitar musim luruh 1979, penduduk Liverpool di England gempar dengan cerita aneh membabitkan seorang lelaki, Frank Haines, 56. Kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang selepas menziarahi ibunya yang uzur.Jam menunjukkan pukul 1.45 pagi. Hujan pula masih renyai, malang… kereta Ford buruk Frank mengalami masalah enjin. Entah kenapa seriap kali berhenti di persimpangan lampu isyarat, keretanya merajuk!

“Ahh…! Kenapa tiba-tiba mati enjin ni?” getus Frank di dalam hati. Dia memulas kunci, enjin hidup dan dia meneruskan perjalanan. Sampai simpang yang lain, sekali lagi enjin keretanya mati. Puas dia memulas kunci starter, tapi tak berhasil.Ketika sedang berpeluh-peluh itulah, dia nampak kelibat seorang gadis di sisi keretanya. Wanita itu, masih muda, berkemeja-T dan berseluar jean.Gadis itu mengetuk cermin tingkap kereta Frank. Simpati dengan keadaan gadis itu yang kuyup, Frank segera membuka pintu penumpang sebelahnya sambil memberi isyarat masuk,

“Pak cik… boleh tumpangkan saya?” tanya gadis itu penuh sopan sambil kedua-dua tangannya membetulkan rambutnya yang basah.

“Awak berani masuk ke kereta orang yang tak dikenali macam ni, bahaya tau tak?” Frank seperti berceramah. “Mujur pak cik ni baik dan kamu bernasib baik. Bagaimana kalau pak cik ni orang jahat. Lain kali berhati-hati.

“Ehh… kamu nak ke mana?” tanya Frank tersenyum selepas memberikan nasihat.

“Barnham Drive aja…” jawabnya sebelum dia memberikan alamat penuh rakannya itu.

“Nanti kejap. Kereta Pak cik ni buat hal,” kata Frank sambil cuba menghidupkan lagi enjin keretanya. Pelik, sekali pulas kuncinya, enjin terus mengaum.

“Di mana tempat tu tadi?” Frank bertanya semula sebaik memulakan perjalanan keretanya. Gadis itu mengulanginya sambil tersenyum simpul.

Suasana sepi beberapa ketika. Tiba-tiba tanpa segan silu, gadis itu menyanyikan lagu kegemaran Frank. Sudah lama dia tak mendengar lagu ku – Bye Bye Baby oleh kumpulan muzik terkenal era awal 1970-an.

“Kenapa kamu berjalan-jalan waktu begini?” Frank bertanya sebaik gadis itu habis menyanyi.

“Saja… jalan-jalan makan angin. Tak sangka pula hujan tiba-tiba turun,” ujarnya manja.

“Apa nama pak cik?” gadis itu semakin berani bertanya.

“Frank. Kamu?” balas Frank.

“Kelly,” jawabnya ringkas.

“Terima kasih pak cik, sudi tumpangkan saya. Pak cik lepas ni balik terus ke rumah ke?” Kelly jelas makin mesra.

“Eh! Mestilah. Pak cik tinggal di Court Hey,” jawab Frank.

“Aaa… bolehlah pak cik tolong saya sikit. Maaf ya, mungkin pak cik ingat saya nakal. Tapi boleh pak cik berhenti se-kejap di Chelwood Avenue, di depan tu kejap, nak jumpa kawan,” kata Kelly sambil memegang tangan Frank.

“Tadi nak ke lain, sekarang lain! Hey… kamu ingat pak cik ni pemandu teksi?” Frank meninggi suara.

“Alah, pak cik tolonglah, takkan itu pun nak marah!” Kelly bersuara sedih.

Frank menggeleng-geleng kepala sambil memandang serius muka Kelly. Dia mengesyaki gadis ini melarikan diri dari rumah.

“Baiklah, tapi pak cik turunkan Kelly di depan rumah dulu. Lepas tu bagitau ibu bapa yang kamu nak ke rumah kawan. Pak cik tunggu di dalam kereta,” kata Frank.

“Terima kasih pak cik. Pak cik tunggu, tunggu lima minit saya datang,” suara Kelly lebih manja.

Ketika menunggu itu, fikirannya melayang. Dia hairan, bagaimana gadis seperti Kelly mudah percayakan dirinya pada tengah malam begini.

“Gadis-gadis macam nilah yang kerap jadi mangsa,” bisiknya sambil menggeleng-geleng. Hujan sudah pun reda tetapi cuaca cukup sejuk di luar.
Lima belas minit berlalu. “Apa ni…” bisiknya. Bagaimanapun dia terus memberi ruang kerana menyangka Kelly masih berbual dengan ibu bapanya.

“Barangkali bapanya tidak izinkan dia keluar kut,” Frank bercakap seorang diri. Dia kemudian menghidupkan enjin untuk pulang ke rumahnya.
Peliknya, begitu mudah enjin keretanya dihidupkan seperti tak pernah menghadapi masalah sebelumnya. “Tuah Kellylah ni!” bisiknya.

“Pedulikanlah dia. Janji aku dah hantar dia selamat sampai ke rumah,” bebel Frank terus beredar. Lebih kurang dua kilometer berjalan, tiba-tiba enjin keretanya senyap. Dia ke tepi, terus berhenti.

“Ahh! Ini semua Kelly punya pasal. Kalau tak aku dah sampai rumah waktu ni,” Frank menyumpah gadis tersebut. Frank tiada pilihan. Diredahnya cuaca sejuk berjalan kaki ke arah rumah Kelly untuk meminta bantuan. Bagaimanapun tiba di depan rumah itu, tiada sebuah pun lampu menyala.

Tok…!Tok…!Tok…!

“Helo! Ada tak orang di dalam?” jerit Frank menggigil kesejukan.

“Siapa?” terdengar suara lembut menyahut.”Saya Frank. Kelly ke?” Frank bertanya.

Pintu rumah tersebut perlahan-lahan dibuka. Namun berdiri di depan pintu seorang lelaki separuh abad memberikan senyuman.

“Maaf kerana ganggu encik tengah malam begini. Ahh! Tapi… Kelly ada di dalam tak?” Frank terpaksa bertanya sambil tangannya dilekapkan ke dalam jaketnya.

“Siapa Kelly?” soal lelaki berkenaan terpinga-pinga. Di sebelahnya seekor anjing jenis Alsatian berdiri dengan lidah terjelir.

Frank lantas menerangkan pengalamannya berkenalan dan menghantar Kelly pulang sebentar tadi. Lelaki itu terpaku sambil tunduk membisu. Dia menghela nafas panjang. Frank bertambah bingung.Frank dijemput masuk. Menurut lelaki tua itu, Kelly – satu-satu anak perempuannya telah meninggal empat tahun lepas. Dia menemui ajal selepas dilanggar sebuah kereta di Fir Lane. Bagi membuktikan kesahihan cerita-nya, dia menunjukkan album gambar mendiang Kelly. Frank antara percaya dan tidak, termasuk yang memaparkan pakaian yang Frank lihat itu.

Salah satu kemeja-T yang dipakai Kelly dalam album itu memaparkan gambar kumpulan Bay City Rollers, penyanyi Bye Bye Baby. Malah Kelly semasa hayatnya juga sering bersiul dan menyanyikan lagu popular kumpulan tersebut Bye Bye Baby bersama rakan-rakan.

Leiaki itu kemudian menangis teresak-esak, sementara Frank pula kelu seakan-akan tidak mempercayai apa yang dialaminya.Menurut ayah Kelly, patutlah anjingnya asyik menyalak di sekeliling bilik mendiang Kelly setengah jam lalu.
“Saya tak sangka anak saya pulang!” katanya dalam esak tangis. Sejak itu ramai pemandu yang melalui Fir Lane pada lewat malam sering melihat seorang gadis mundar-mandir di situ. Tapi siapa pun tak berani memberhentikan kereta.

Urban Legend

Pokok Kannibal Makan Manusia

Pada 1878, seorang pengembara Jerman yang melawat Madagascar iaitu Carl Liche, sempat menyaksikan satu upacara menyeramkan yang dilakukan satu daripada puak Orang Asli di wilayah itu. Pengembara itu menyaksikan puak Mkodo menangkap seorang daripada anak gadis kumpulan mereka dan menyerahkan kepada pokok gergasi yang aneh untuk dijadikan korban!

Dia melihat bagaimana ahli kumpulan itu mengelilingi gadis terbabit sambil menujah lembing tajam ke arahnya dengan niat memaksa wanita malang itu memanjat tumbuhan gergasi berkenaan.Tidak seperti tumbuhan biasa, pohon aneh yang menyerupai pokok nanas gergasi itu kelihatan menyeramkan dengan bahagian jambul di atasnya dipenuhi jalur hijau seakan sesungut sotong kurita yang mengelilingi takungan berisi cecair tertentu.

Apabila gadis itu sampai di bahagian atas tumbuhan berkenaan, dia dengan berat hati dipaksa meminum cecair yang bertakung di atas pohon berkenaan.Serentak itu, dengan tiba-tiba tumbuhan berkenaan kelihatan hidup dan bergerak-gerak.Sesungut hijaunya dengan rakus membelit jasad gadis berkenaan menyebabkan dia menjerit lantang bagi menzahirkan ketakutan yang teramat.

Terkejut dengan situasi itu, Liche menulis gambaran berkenaan dengan ayat berikut:

Pohon kanibal kejam, yang tadi kelihatan tidak bergerak seolah-olah mati, tiba-tiba menjadi hidup dan mengganas. Sesungutnya yang halus dan kemerahan merayap seumpama ular yang lapar di kepala gadis berkenaan. Kemudian, seolah-olah tumbuhan itu mampu berfikir dengan bijak, ia mula membelit kuat tangan dan leher gadis itu. Jeritan ketakutan gadis itu disambut satu bunyian pelik seolah-olah ketawa kejam daripada tumbuhan itu.

Sesungut tumbuhan itu – satu demi satu yang kelihatannya seperti ular hijau – dengan tenaga yang kuat dan kelajuan yang dahsyat, menjalar sehingga membalut tubuh gadis itu dengan ketat dan kejam seperti ular anakonda yang membelit mangsanya.

Sebaik sahaja kisah menyeramkan itu dipaparkan didalam akhbar, tanda tanya segera tercetus di kalangan ramai pihak berhubung kewujudan tumbuhan aneh yang diceritakan itu.Lebih membingungkan adalah kisah berhubung tumbuhan misteri yang memakan manusia tidak tertera menerusi kisah berkenaan saja tetapi turut didapati dalam pelbagai kisah legenda di beberapa negara lain antaranya di Amerika Syarikat dan Mexico.

1924

Beberapa tahun kemudian iaitu pada 1924, bekas Gabenor Michigan, Chase Osborn, dalam buku tulisannya bertajuk ‘Madagascar, Negeri Pohon Yang Memakan Manusia’ mengesahkan kewujudan tumbuhan karnivor berkenaan malah menyatakan bahawa puak Mkodo serta mubaligh yang pernah melawat wilayah itu mengetahui akan wujudnya pohon aneh itu.

Beberapa kenyataan pengesahan itu semakin membingungkan ramai pihak. Fakta yang diketahui ramai adalah tumbuhan tidak mampu bergerak secara bebas dengan sendirinya, apatah lagi untuk memakan dan menelan hidupan lain.

Setelah heboh mengenai kisah tumbuhan aneh itu , satu pencarian yang memakan masa bertahun-tahun dijalankan.Penemuan mengejutkan itu menyebabkan penyelidik biologi terkemuka, Charles Darwin menghabiskan masa selama 15 tahun untuk mengkaji tumbuhan berkenaan yang kemudian dikenali dengan nama saintifik ‘insectivores’.

Kajian mendapati, tidak seperti tumbuhan lain yang memperoleh ‘makanan’ mereka dengan menyerap mineral daripada tanah, tumbuhan karnivor memerangkap haiwan serta serangga dan memakan mereka bagi mendapatkan nutrien.Tumbuhan jenis ini dapat bergerak dengan sendirinya dan menggunakan pelbagai kaedah untuk memerangkap mangsa mereka.Tumbuhan itu dikenali sebagai ‘venus flytrap’ atau nama saintifiknya ‘Dionaea muscipula’ dan juga ‘nepenthes’ yang banyak tumbuh di Asia Tenggara dan memerangkap serangga, katak dan haiwan sebesar tikus untuk dimakan.Namun , pencarian itu tidak menemui sedikitpun bukti tumbuhan karnivor yang mampu memakan manusia.

Tanpa penemuan memberangsangkan, penyelidik termasuk penulis sains, Willy Ley, berpendapat bahawa kisah Carl Liche seperti tertera dalam akhbar South Australian Register itu hanyalah rekaan semata-mata.Tiada pohon yang memakan manusia di Madagascar, tiada puak Mkodo ditemui di situ malah pengembara Jerman bernama Carl Liche juga didapati tidak pernah wujud di dunia ini.


Urban Legend

Misteri Kapal Mary Celeste

Pada 4 November 1872 sebuah kapal layar jenis square-rigged brigantine bernama Mary Celeste telah meninggalkan pelabuhan New York, Amerika Syarikat menuju ke Itali. Pada 4 Disember, ia ditemui hanyut tanpa hala tuju di tengah laut, tanpa seorang pun manusia di atasnya, oleh krew kapal Dei Gratia. Anehnya, tiada tanda-tanda bahawa pergelutan telah berlaku di atas Mary Celeste, jika hendak diandaikan kapal itu telah diserang lanun atau berlakunya rampasan kuasa (mutiny). Kelengkapan di atas kapal itu begitu kemas seolah-olah sekalian anak kapal sedang bersedia untuk memulakan satu hari baru pada suatu pagi.

Catatan terakhir dalam buku log Mary Celeste telah dibuat oleh Kapten Benjamin Spooner Briggs sepuluh hari sebelum Dei Gratia terserempak dengan kapal itu. Kapten Briggs hanya menyebut bahawa semasa dia menulis, cuaca kelihatan seperti akan ribut. Diandaikan Mary Celeste telah ditinggalkan akibat ribut, apakah sebabnya kesemua anak kapal meninggalkannya, sedangkan tidak kelihatan sebarang kerosakan pada struktur kapal? Dan kenapa pula barang-barang di atas kapal itu tidak berselerak sepertimana biasanya apabila sebuah kapal dilambung ombak besar?

Bahkan ada sebotol ubat batuk yang telah dibuka tetapi tidak tumpah di atas kapal itu, manakala pinggan-mangkuk masih elok di tempatnya, tidak pecah. Di atas meja kapten terdapat tanda-tanda bahawa dia sedang bersedia untuk bersarapan. Kapten Briggs telah memecahkan bahagian atas sebutir telur separuh masak dengan eloknya, kemudian ia ditinggalkan begitu sahaja.

Ketika ditemui, Mary Celeste didapati telah berlayar tepat mengikut laluan yang sepatutnya ia ambil. Amat ganjil untuk kapal sedemikian kekal dalam laluannya selama sepuluh hari sejauh 500 batu memandangkan arus laut dan angin yang boleh mengalihkan hala tujunya pada bila-bila masa dan ke arah mana-mana sekalipun.

Mary Celeste telah ditunda ke Gibraltar dan kemudiannya diperlengkapi semula, tetapi ia telah bertukar tangan sebanyak 17 kali selepas ia ditemui kerana ia dianggap membawa nasib malang. Akhirnya, dalam tahun 1884 ia telah karam di perairan Haiti.

Apakah yang telah terjadi ke atas anak-anak kapal Mary Celeste yang berlepas di atas kapal tersebut dari New York pada 4 November 1872? Kenapakah langsung tiada pentunjung tentang apa yang telah berlaku di atas Mary Celeste hingga ia ditinggalkan sepenuhnya? Dan bagaimanakah ia dapat meneruskan perjalanan selama sepuluh hari tanpa anak kapal tepat mengikut laluan yang sepatutnya? Mungkinkah Mary Celeste telah memasuki perairan Segitiga Bermuda, lalu anak kapalnya lesap sepertimana banyak kes-kes lain yang berlaku di kawasan tersebut?
 

Urban Legend

Sumpahan Kereta James Dean

Pada September 1955 , James Dean terbunuh dalam satu kemalangan kereta.Pada waktu itu , dia memandu kereta kesayangannya – sebuah kereta Porsche yang diberi nama Spyder.Selepas kejadian yang meragut nyawanya,kereta porschenya itu bagaikan mempunyai sumpahan terhadap pemilik barunya.

  • Semasa kereta itu di bawa ke sebuah garaj,enjin kereta tersebut melantun kearah mekanik lalu menyebabkan beliau patah kedua kakinya.
  • Enjin kereta itu dibeli oleh seorang doktor lalu digunakan untuk berlumba.Malangnya , beliau terbunuh bersama-sama dengan seorang pelumba lain yang merempuhnya.
  • Dua biji tayar kereta James Dean telah diambil oleh seorang anak muda meletup kedua-duanya sekali pada masa yang sama.Namun , pemanduan yang selamat telah menyelamatkannya daripada maut.
  • Garaj yang menempatkan kereta James Dean untuk dibaiki terbakar secara misteri.Kereta James Dean masih dalam keadaan elok sementara kereta yang lain hangus terbakar.
  • Kemudian , kereta tersebut di pamerkan di Sacramento tetapi ianya tiba-tiba rosak lalu menyebabkan seorang remaja mengalami kecederaan.
  • Sebuah trailer yang membawa kereta James Dean secara tiba-tiba melanggar sebuah kedai.
  • Akhirnya , pada 1959 , kereta yang dikatakan mempunyai sumpahan itu rosak lalu berkecai kepada 11 kepingan.
Urban Legend

Pengantin Yang Malang

Setiap pengantin inginkan majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan lancar dan bahagia.Namun tidak bagi Puteri Maria del Pozzo della Cisterna dan suaminya anak raja Itali di Turin iaitu Amedeo , Duke D’Aosta.Berlaku kejadian tragik dan menyayat hati dihari perkahwinan mereka itu.

Berikut adalah perkara aneh yang menghantui pasangan tersebut.

  • Pembantu Puteri Maria del Pozzo della Cisterna yang menguruskan pakain pengantin menggantung dirinya sendiri.
  • Pengapit lelaki menembak kepalanya secara tiba-tiba.
  • Penjaga gerbang istana mengelar lehernya sendiri.
  • Kolonel yang memimpin acara perarakan pengsan kerana terkena selaran sengatan sinar matahari.
  • Pegawai yang mengiringi mereka ke stesen keretapi jatuh lalu kepalanya putus tersepit di celah roda keretapi.